SAFODA Terima Sijil ISO 9001:2015, Langkah Besar ke Arah Kecemerlangan

Kota Kinabalu, 15 November 2024 – Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA) mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya memperoleh Sijil ISO 9001:2015 daripada National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH). Penganugerahan ini disempurnakan dalam satu majlis penuh gilang-gemilang sempena Majlis Apresiasi dan Malam SAFODA yang berlangsung di Dewan Buntungan, Karambunai Nexus.

Pencapaian ini adalah hasil daripada usaha gigih SAFODA dalam memperkukuh sistem pengurusan kualiti organisasi, dengan kerjasama strategik bersama Think Big Management Consultant Sdn Bhd. Sepanjang tempoh penilaian, SAFODA menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan setiap proses operasi mematuhi standard antarabangsa yang ditetapkan oleh ISO 9001:2015.

Ketua Pengurus Besar SAFODA, Encik Bahrul Razha bin Haji Chuprat, dalam ucapannya, menegaskan bahawa pensijilan ini bukan sahaja meningkatkan kredibiliti organisasi di peringkat nasional dan antarabangsa, malah menjadi dorongan kepada warga SAFODA untuk terus memperbaiki mutu perkhidmatan.

“Pencapaian ini adalah bukti dedikasi seluruh warga SAFODA dalam mengutamakan kualiti, keselamatan, dan kelestarian perhutanan negeri Sabah. Kami komited untuk terus memberikan yang terbaik kepada semua pihak berkepentingan,” katanya.

Majlis turut dihadiri oleh wakil daripada NIOSH dan Think Big Management Consultant Sdn Bhd yang berperanan penting dalam membimbing SAFODA sepanjang proses persijilan. Sijil tersebut diserahkan oleh Pegawai NIOSH, Muhammad Fairudz Mohamad Rom, sebagai simbolik pengiktirafan terhadap pengurusan cemerlang SAFODA.

Dengan pensijilan ini, SAFODA kini bersedia untuk melangkah lebih jauh dalam meneroka peluang baharu dan memperkukuh kedudukannya sebagai agensi peneraju dalam bidang perhutanan di Sabah, selari dengan matlamat negeri ke arah pembangunan lestari.